Assalamualaikum....
Sekarang Izra lihat ramai yang menggunakan gambar untuk fitnah orang lain. Dah jadi macam trend pula. Izra mula sedar bila adik Izra bertanya pada Izra apa hukumnya menggunakan gambar orang lain untuk menyampaikan sesuatu perkara yang tidak benar?
Contohnya seperti menggunakan gambar artis dan di dalam gambar tersebut ada tulis dialog yang tidak elok sedangkan artis tersebut tidak menyatakan perkara tersebut dan cuma individu yang membuat dialog.
Izra cuma tertanya-tanya. Kalau perkara yang berunsur komedi Izra boleh terima sebab ia hanya sekadar gurauan tetapi apabila gambar dijadikan medium untuk menyampaikan sesuatu yang tidak elok dan tidak benar ia akan menjadi satu fitnah. Betul tak?
Apakah pengertian fitnah? Untuk lebih jelas kita pergi kepada pengertian fitnah. Fitnah adalah tuduhan, khabar atau kisah yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah ialah mengada-adakan sesuatu cerita yang tidak benar kepada pihak lain yang dilakukan sama ada melalui perkataa, tulisan atau isyarat gambar, video dan sebagainya.
Melalui pengertian itu kita dapat lihat penggunaan gambar yang semakin menjadi trend dalam meyampaikan sesuatu yang tidak benar adalah merupakan fitnah. Fikirlah sebelum kita kongsi sesuatu link. Secara tak langsung kita juga mendapat saham sama.
Siapakah yang terlibat dalam saham dosa?
1. Individu yang mencipta dan merancang fitnah dgn gambar dan dialog yang tidak benar
2. Sesiapa yang share and like berita tersebut
3. Media yang menyebarkan
Izra juga nak share sabda yang menunjukkan tentang fitnah :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "...ada sekelompok lagi kukunya terbuat daripada tembaga api neraka, panjang kukunya lalu mencakar-cakar mukanya.dan mengoyak-ngoyakan mukanya sendiri, hancur muka dan dikembalikan lagi ke bentuk asal begitulah berulang-ulang.Ini balasan untuk mereka yang sentiasa bermusuh-musuhan sesama saudara muslim, suka cari aib orang lain, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri."
Oleh itu kita sebagai manusia perlulah bertanggungjawab atas apa yang ditulis, diucap dan disebar dan bukannya bercakap, menulis dan menyebarkan berita mengikut sesuka hati tanpa selidik.
" Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan."
(al-Isra:36)
Sepertimana yang kita tahu perbuatan menabur fitnah lebih kejam daripada membunuh. Ini kerana kesannya lebih teruk daripada membunuh. Jika membunuh mangsa mungkin hanya seorang tetapi jika memfitnah kesannya berpanjangan. Orang yang terlibat juga mengakibatkan ramai orang. Cuba anda bayangkan bila ini terjadi pada anda. Apakah yang akan anda lakukan.
Sesungguhnya orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui. "Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, dan sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan-Nya." (an-Nur: 11-20)
Jadi sebelum kita sebarkan sesuatu berita fikirkanlah diri dan keluarga kita. Letakkan diri kita pada diri orang yang kita fitnah. Sesungguhnya Allah itu maha Adil. Apa yang kita akan perolehi adalah daripada apa yang kita lakukan. Setiap perbuatan ada balasannya. Jika baik, maka baiklah yang kita peroleh tapi jika jahat maka buruklah yang kita akan perolehi.
" Allah SWT itu maha adil, segala perbuatan kita akan dibalas mengikut apa yang kita lakukan. Jika baik, maka kesenangan akan kita peroleh, jika jahat, maka buruklah padahnya."
No comments:
Post a Comment